Sunday, June 3, 2012

SUATU HARI DISUATU KETIKA [ 6 ]

ACARA BERMULA…

Tau tak apa perkataan yang paling kami tunggu sepanjang majlis berlangsung?.. hi hi.. perkataan yg mungkin tak bererti sangat pada anda semua sekarang ni, tapi tidak bagi kami akan-anak kampong.. “Pergi mandi!, dah tengahari sekarang, lepas ni boleh salin seluar baju”.. yeee horreeei,

“Mak Saya dah beri mandi”… yang dapat kebenaran paling awal akan tersengih2 mengulangi ayat yang menyakitkan telinga kengkawan yang sedang menunggu lampu hijau. Bukan mandi sangat yang menyukakan kami, al-maklum walaupun rumah masing2 tepi sungai dan dah biasa sangat dgn sungai.. tapi “bersalin pakaian” tu yang dinanti2kan dgn penuh bahagia. Dapat memperagakan pakaian baru masing-masing selepas mandi… sangat mengujakan!.

Biasanya kebenaran tu kami dapatkan selepas makan tengahari [biasanya budak2 dulu yang diberi makan], orang2 tua kemudian. Badan pun dah hangit berpeluh main kejar-kejar, main rumah batu, polisantri, main sorok-sorok, batu seremban, main keretapi, tarik upih pinang, tolak roda tin, main koi getah, baling selipar, main getah campak dan apa-apa sajalah asal memuaskan jiwa keanak-anakan kami. Memang masa yang sesuai untuk mandi dan bersiap-siap utk acara BERATUR [istilah org kampong kami] merujuk kepada acara menyambut kedatangan Pengantin lelaki ke rumah Pengantin Perempuan. Biasanya majlis ni bermula jam 3 petang dan berlanjutan kadang2 sampai jam lima.

Di sesetengah kampong, kehadiran Pengantin Lelaki ditandai dengan tembakan tiga das senapang patah, dan dibalas keluarga Pengantin Perempuan dgn tiga das juga tanda menerima ketibaannya. Ketika inilah segala aktiviti terhenti, mata masing-masing liar mencari sosok tubuh yang dinantikan di tengah-tengah rombongan bersama dulang hantaran. Pengantin Lelaki bersendirian akan di tempatkan atas kerusi khas di balai rong untuk melihat persembahan..

Biasanya silat pulut , bila dah moden sikit masuk pulak Silat Gayung.. dipersembahkan dengan iringan pukulan gendang. Cukup meriah.. dan sorak sorai bila kedua2 pendekar beradu tenaga di tengah gelanggang dengan debu berterbangan ke udara bila pendekar berhempas berguling atas tanah keras di laman rumah, badan masing-masing bermandi peluh kerana kesungguhan menghibur Raja Mereka!... masing2 bangga dan kepuasan walaupun hanya diganjari dengan sebiji telor dari bunga manggar.

Di hujung majlis, pengantin perempuan akan turun menjemput Pengantin Lelaki naik ke rumah bersama pengapit2nya untuk berehat di bilik khas yang disediakan. Tak semudah itu nak naik tuan-tuan.. pasukan lelaki kena jawab pantun lah pulak!. Jadi, bukan sebarang orang yang boleh mewakili kedua pihak.. mesti ada seni menguasai pantun. Cuma masa tu… kata Ayah saya kedua belah pihak dah ejas pantun masing2..

Orang dulu-dulu katanya kalau gagal membeli pantun yang dijual, alamatnya tak naik ke rumahlah!.. Malah, tak berakhir di situ.. pengantin Lelaki kena pandai pulak jawab pantun Pengantin Perempuan.. baru boleh beradu!.. adusss .. berapa punya susah da.. [mungkin kerana dah banyak kejadian yg memalukan, adat ini menyusut dan terhapus perlahan-lahan, malah ejas-ejas pun tak buat dah. Budaya Melayu dah semakin miskin].

Di ruang tamu, kedua pihak berbalas-balas dulang hantaran… yang pastinya tak sah kalau tak ada sirih junjung… [ nak tergelak pulak bila dengar hari ni ada sirih junjung plastik sbb sukar nak mendapatkan sirih. Kambing pun dah tak kenal daun sirih.. barangkaliiiii..]

SUATU HAI DISUATU KETIKA [ 5 ]

Sambungan.. pasal KAWIN – 
AKAD NIKAH YANG MENGGENTARKAN

Hari Kerja Besar di kampong Saya ditandai dengan Majlis Aqad Nikah - malam sebelum kenduri besar - yang menggentarkan mana-mana bakal Pengantin Lelaki. Biasanya selepas Solat Isyak Berjama’ah. Sebelumnya Solat Maghrib, diikuti biasalah baca Yasiin dan Tahlil dengan doa panjang yang menjatuhkan tangan ke riba. Kita bebudak, tak campor hal tu. Bab Akad Nikah pun tak amik pot sangat.. lagi pun kami dah dikerah pergi main jauh2, jgn campor hal orang tua2.

Cuma setau Saya dengar orang tua2 bercerita lepas majlis tu.. ada yang sekali das, ada yang dua tiga kali das, ada yang sampai berbelas kali dan ada yang nak kena mandi.. babuk sangat!. Bukan babuk, sebenarnya dalam ilmu saikologi.. demam pentas, maklumlah mata bergantang menatap, telinga menyerap tiap patah kalimah. Orang kampong mana yang biasa berucap di tengah khalayak, tambah menyeramkan di dudukkan atas tilam yang tebal, tingginya mengatasi ketinggian Tok Naib [gelaran kami] kpd Wali Hakim. Tak cukup dengan tu.. sebelumnya, sudah didera dengan berbagai soalan pengetahuan agama walaupun yang asas-asas, berpeluh ketiak jugalah menjawab. Tak dapat jawab, tak nikahlah jawabnya!.. hanya kerana kesilapan tak menyebut dhamir “nya” atau Tok Naib tak berpuas hati dengan kalimah “setengah”, mesti sebut “RM22.50 sen” .. Kesian RAJA teruk kena dera! He he..

Itulah sebabnya orang dulu-dulu sibuk mengaji ke hulu ke hilir sebelum meminang anak dara orang. Jangan haraplah nak jadi menantu orang… kalau tak tamat mengaji Quran, tak hafal tahlil, tak pandai marhaban, tak tahu baca jawi dan tak reti baca rawi. [hari ni, kalau tanya mcm tu.. haruslah Wali Hakim kena pecat atau kena sergah dek pengantin… sbb tak termasuk dlm senarai tugasnya amik tau hal-hal agama, amik tau hal2 kepengantingan sudah..aku dah bayar kau RM100 – jgn banyak cakap!]. Akad nikah dulu2 betul2 mempertaruhkan maruah seorang yg bakal bergelar suami. [Dulu kena siasat hal agama, sekarang kena siasat bebas HIV atau tidak!.. zaman dah terbalik].

Selesai aqad, diikuti dengan berzanji [membaca rawi] sampai 12 rawi khatam, selawat sambil berdiri sampai tamat dan marhaban. Menjelang jam 12 tgh malam ... giliran pasukan dikir rebana mengambil tempat.. sampai ke cerah!.. debung, debung… rebana dipukul, diikuti dgn lagu2an yang ntah apa yang disebut, lantak koranglah. Itu di rumah Pengantin Lelaki, yang Pengantin Perempuan pulak… tak kurang juga dengan Majlis Khatam Quran, berzanji dan marhabannya. Masing2 tak mau kalah.

Kami bebudak, tetaplah dengan keriangan kami bermain sorok-sorok, sakat-sakat hantu, polisantri, batu seremban, cok-cok kembung, naik kuda2, senebang senebu kuala sawa, Mak Limah Pergi Pasar.. ikutlah apa2 saja yang terfikir sesuai di kegelapan malam.. mainlah sampai lelah, Mak Ayah tak kisah, kmdn di mana-manapun kami nak melabuhkan tirai malam silakan.. yang pasti, dalam kepala ada satu agenda; menunggu cerah menanti hari esok yang lebih ceria dan membahagiakan!..

SUATU HARI DISUATU KETIKA [ 4 ]

Sambungan.. pasal KAWIN – HARI KERJA BESAR

Lucu bila dikenangkan… bila tiba Hari Kerja Besar.. Pengantin Lelaki yang selama ni main bola dgn kita, mengail dan berhujan lesap bersama, menyerkap ikan di paya, bermain dam aji di kedai, memusing dan memangkah gasing.. atau apa2 juga aktiviti anak muda kampong.. tiba2 berubah, semuanya jadi lain. 

Manakan tidak?.. Hari tu beliau naik pangkat jadi RAJA, [bukan sekadar gelaran macam sekarang] .. tapi benar-benar terasa diRAJAkan oleh orang-orang kampong. Kerana darah manisnya.. jalannya bertandu, di pikul sampai tak jejak ke tanah, dilindungkan, ghaib dari pandangan kami orang-orang kampong. Macam halimunan, tempat mandinya [walaupun perigi saja], tetapi dikhaskan.. jadi kawasan larangan, siap dgn pengawal!. Kami anak-anak muda, tentulah terintai-intai ingin melihat Raja kami, seolah2 kami tak pernah bertemu dengannya sebelum ini.

Kami yang kanak-kanak saja ker berasa begitu?!.. tak orang-orang tua pun sama.. he he. Pemuda biasa kampong, tiba2 jadi sosok yang begitu diperhatikan kelibatnya dan ditunggu2kan kehadirannya. Kalau terserempak di jalan sepulang dari permandian.. heboh kami bercerita tentang RAJA kami tu. Pengapit pengantin yang mencegat kami ketika sedang terhendap-hendap di balik dinding rumah akan menjauhkan kami darinya.. seolah2nya satu kesalahan besar mengendap Pengantin Lelaki @ Raja Sehari … itu yang membuatkan kami makin penasaran nak melihat gerak geri seorang Raja! Ha ha.. RAJA SEHARI.

Itu, Pengantin Lelaki…Pengantin Perempuan, usah diceritakan lagi.. berkurung 24 jam!, inang2 bertuah sajalah siang malam menemaninya. Sepanjang dua hari tu..munculnya hanya tiga kali, masa Majlis BERATUR, Menitik Inai dan Bersanding... Itupun ditudung mukanya dek Mak Andam yang hanya sekali sekala saja membenarkan wajahnya dilihat penonton. Tiap2 kali wajahnya tersembul dari balik kipas pengantin.. diiringi dgn sorakan,tepukan dan siulan yang bertali arus. Pengantin Perempuan pulak dah dibrain wash, dilatih..jangan mudah2 senyum apa lagi ketawa!.. nanti teruk kena kutuk.

Agaknya kalau ada pengantin perempuan yang ketawa kerana usikan.. bayangkan!,.. mau batal majlis, mujur seingat Saya..Tak adelah pulak ada yang pecah rekod pengantin perempuan buruk laku,... ketawa terbahak-bahak, berdekah-dekah di atas pelamin.. Haru Pak Mak Mertua dpt menantu sempoiii..

belum habis daa..

SUATU HARI DISUATU KETIKA [3]

Macam kata Sahabat Saya Syed Othman Al-Edrus.. segala kerja melibatkan nikah kawin ni diurus bersama. Tak ada yg susah, mmng dah ada pasukan mencari kayu api utk memasak.. sejak berbulan dah ada yang reki.. kat kebun getah sape ada pokok getah tumbang. Pasukan mencari sayuran dah survey kat mana nak dapat bekalan nangka muda, pisang muda, umbut nyor, nyor utk buat santan dan segala yang berkaitan.

Ada pasukan mengucai dodol, memasak nasi manis, membuat bunga telor, menghias pelamin yang tak henti2 bekerja dari mula melambar rembat sampailah ke hari besar [kenduri]. Ada skuad khas mengumpul dan menguruskan lampu gasolin, ada pasukan menangkap kerbau atau lembu, menjejaknya ke dalam hutan kalau perlu, memberi makan, merempong, menyembelih dan menyiang daging. Ada pasukan meminjam dan menyediakan peralatan pinggan mangkuk, periuk belanga, kukor nyor, dan pasukan pengupas kelapa yang berpengalaman [guna besi tajam atau parang].

Ada team meramas santan, mengupas bawang, menggiling rempah dan memasak gulai. Ada team jaga stor bahan makanan sumbangan orang kampong pada tuan rumah, ada geng menjala ikan utk lauk makanan harian sebelum hari besar dan dah tentulah ada pengurus khas aturcara untuk hari besar yang berlangsung sehari semalam. Nak perincikan kesemuanya,.. takut jemu pulak membacanya.

Kami, kanak-kanak tumpang gembira dan menyibuk dgn orang2 tua, menolong mana yang boleh.. kononnya, tapi dah tentulah lebih kpd bermain.. kalau kupas kelapa.. mengendeng air nyor muda dan isi sedang hingus, kalau kelapa tua.. berebut tumbong nyor. Kalau memasak nasi.. tolong berebut kerak nasi kawah yang rangup, kalau ke sabak [tempat memasak].. untung2 dapat sededes dua daging pacak, kalau merebus telor.. telor2 yang tersenyum [terlebih masak sampai pecah kulit]..itu memang habuan yang ditunggu2.

Zaman dulu2.. bukan senang nak dapat hadiah telor rebus tu oooiii.. merah mata!. Yang layak dapat bunga telor tu.. pengapit pengantin, Mak Andam, penghias pelamin, pembawa hantaran dan bunga manggar, pemberi hadiah, pesilat, pengetuk tetawak, pemukul gendang, penari lilin, AJK kerja kawin, penitik inai.. tu saja!.

~~~~~~~~~~
Panjang dah ni, sambung pulak acara Hari Besar [kenduri].. jeng jeng

SUATU HARI DISUATU MASA [ 2 ]

Tahun 60an hingga awal 70an, di kampong memang tak ada TV. Yang ada hanya beberapa buah radio sebagai penyambung dengan dunia luar. Bagi anak-anak muda kampong… panggung wayang Paradise di Bandar Lipislah tempat yang dituju… melepas kejenuhan tinggal di kampong. Paling teruja… time2 raya, entah apa seronoknya macam jadi tradisi … anak-anak muda dari setiap kampong berpusu-pusu ke sana, berasak-asak berebut tiket wayang sampai pecah-pecah pagar tempat jual tiket.

Bagi kami anak-anak kampong, memanglah tak ada siapa yg nak bawak menonton ke pawagam.. jadi wayang gambar Jabatan Peneranganlah pilihan yang ada. Dalam setahun adalah dua tiga kali motorbot beratap hijau tu singgah ke kampong kami [ masa tu pengangkutan di Ulu Jelai hanya melalui jalan sungai ].

Bila motorbot beratap hijau melintasi kampong ... kami akan bersorak kegirangan, Mak-Mak Ayah dan Abang2 pun begitu.. Cuma mereka tersenyum, tak tunjuklah aksi melompat ala-ala kera macam kami.. tahan macho kata bebudak hari ni!.. Khabar gempak itu dengan segera tersebar ke merata kampong.. Mana2 yg ada otak bisnes mula buat perancangan nak jual kacang rebus, kueh mueh atau apa-apa saja yang boleh jual dan garenti laku masa tayangan di balai raya nanti [ sekarang balora ].

Yang tak besnya… kerana kedudukan kampong kami agak ke hilir, terpaksalah kami bersabar dalam seminggu gitu.. selepas Pos Betau, Kuala Medang, Kuala Serau, Kg Kermoi, Tg. Gahai, Kuala Koyan barulah giliran kami Kg Bertang. Tak kisahlah cerita atau drama apa, asal wayang gambar… semuanya seronok…kebanyakannya penerangan tentang dasar-dasar kerajaan, lawatan PM dan Agong ke luar negara dll.

Kami tak amik tau, apa itu propaganda, entah itu namanya kempen politik, entah itu indoktrinasi ke apa ke.. semuanya seronok ditonton, berwarna warni.. asal tak membosankan macam TV hitam putih.

Tempat febret yg jadi rebutan?... dah tentulah serapat mungkin dengan pemain wayang gambar, tengok dia gulung filem, masukkannya ke player, kmd menanggal dan menyimpannya.. buka filem seterusnya dan sambung lagi… Seronoknya .. mau makan masa seminggu bercerita. He heh. Sape nak amik peduli dgn penayang wayang yang telah ratusan kali memutarnya, kejemuan atau nak termuntah agaknya kan?.. Kalau pun ada kegembiraan agaknya.. kerana melihat gelagat kami anak-anak kampong yang terheran-heran dengan pekerjaannya dan tak kurang pula ada yang menyimpan cita-cita ingin mengambil alih tempatnya suatu hari nanti. [sayangnya tak kesampaian, kerana pekerjaan itu dah tak ujud lagi di dunia ini he he..]

boleh sambung lagi ker?..

SUATU HARI DISUATU MASA

1960an – hiburan di kampong ketika Saya masih kanak-kanak hanyalah sebatas radio. Itupun tak semua yang mampu memilikinya. Seingat saya adalah dalam dua tiga buah saja. Rumah Saya mungkin salah sebuah rumah yang bertuah.. kerana Abang sulong kami membelinya dengan hasil titik peluhnya memotong getah. Walaupun harganya mahal ketika itu.. tapi barangkali kerana beliau banyak merantau ke luar negeri di serata Semenanjung menjadikan beliau agak terdedah dengan dunia luar. Jadinya, radio sudah menjadi suatu keperluan buatnya dan kami menumpang tuahnya.

Memandangkan saiznya yang besar dan berat, ia diletakkan di tempat khas dan tidak bergerak ke mana-mana lagi sepanjang hayatnya, kecuali ke kedai membaikinya nun di Bandar Kuala Lipis apabila rosak. Di sanalah kami berkumpul mendengar berita, pengumuman puasa dan raya, Musabaqah Al-Quran atau menikmati lagu-lagu permintaan biduan dan biduanita tersohor seperti Ahmad Jais, Ahmad Daud, Sanisah Huri, Rafeah Buang, J. Mizan, Hussien Merican, A. Ramlee, Jefri Din dan banyak lagi yang membarisi generasi pop yeh yeh ketika itu.

Sekali sekala dalam seminggu merelakan diri ditakut2kan oleh Jahlelawati [pelakon drama radio handalan Singapura] dalam Pentas Sandiwara dan Drama Dalam Syair. Selalunya beliau melakonkan watak2 hantu dengan hilaian ketawa yang panjang dan menyeramkan. Suasana kampong yang di kelilingi rimba dan imaginasi kanak2 yang terbawa-bawa itu barangkali menghidupkan lagi wataknya. Itulah telenovela zaman kanak-kanak kami.

Kerana keterhadan itu barangkali, kami menggemari hampir semua rancangan yang disiarkan… namakan apa saja; Peristiwa, Mutiara Untuk Anda, Kebun Pak Awang, Rumah no 5 Persiaran Satu, Bintang Radio, Pending Permata, Arena Sukan.. semuanya kedengaran menarik di telinga.

Bodoh dan dungunya waktu itu… Saya terheran2 macam mana orang boleh menjadi sekecil itu untuk memasuki peti nyanyi yang begitu kecil.. Keasyikan memikirkan hal itu membuat Saya terlekat di sisinya berjam-jam.. ha ha..