Sunday, June 3, 2012

SUATU HARI DISUATU MASA

1960an – hiburan di kampong ketika Saya masih kanak-kanak hanyalah sebatas radio. Itupun tak semua yang mampu memilikinya. Seingat saya adalah dalam dua tiga buah saja. Rumah Saya mungkin salah sebuah rumah yang bertuah.. kerana Abang sulong kami membelinya dengan hasil titik peluhnya memotong getah. Walaupun harganya mahal ketika itu.. tapi barangkali kerana beliau banyak merantau ke luar negeri di serata Semenanjung menjadikan beliau agak terdedah dengan dunia luar. Jadinya, radio sudah menjadi suatu keperluan buatnya dan kami menumpang tuahnya.

Memandangkan saiznya yang besar dan berat, ia diletakkan di tempat khas dan tidak bergerak ke mana-mana lagi sepanjang hayatnya, kecuali ke kedai membaikinya nun di Bandar Kuala Lipis apabila rosak. Di sanalah kami berkumpul mendengar berita, pengumuman puasa dan raya, Musabaqah Al-Quran atau menikmati lagu-lagu permintaan biduan dan biduanita tersohor seperti Ahmad Jais, Ahmad Daud, Sanisah Huri, Rafeah Buang, J. Mizan, Hussien Merican, A. Ramlee, Jefri Din dan banyak lagi yang membarisi generasi pop yeh yeh ketika itu.

Sekali sekala dalam seminggu merelakan diri ditakut2kan oleh Jahlelawati [pelakon drama radio handalan Singapura] dalam Pentas Sandiwara dan Drama Dalam Syair. Selalunya beliau melakonkan watak2 hantu dengan hilaian ketawa yang panjang dan menyeramkan. Suasana kampong yang di kelilingi rimba dan imaginasi kanak2 yang terbawa-bawa itu barangkali menghidupkan lagi wataknya. Itulah telenovela zaman kanak-kanak kami.

Kerana keterhadan itu barangkali, kami menggemari hampir semua rancangan yang disiarkan… namakan apa saja; Peristiwa, Mutiara Untuk Anda, Kebun Pak Awang, Rumah no 5 Persiaran Satu, Bintang Radio, Pending Permata, Arena Sukan.. semuanya kedengaran menarik di telinga.

Bodoh dan dungunya waktu itu… Saya terheran2 macam mana orang boleh menjadi sekecil itu untuk memasuki peti nyanyi yang begitu kecil.. Keasyikan memikirkan hal itu membuat Saya terlekat di sisinya berjam-jam.. ha ha..

No comments:

Post a Comment